Tuesday, 28 March 2017

Senyum

Senyum hanya menggunakan 17 sahaja otot muka manakala bermasam muka memerlukan lebih 43 otot muka.

Senyum adalah sedekah yg paling mudah. Terdapat pelbagai jenis senyuman;

_________________________________________________

Senyum ikhlas, senyum paksa, senyum malu, senyum sinis,senyum gatal, tersengih seperti kerang busuk dan macam macam lagi jenis senyum yang tak tersenarai di sini. Namun senyum yang paling baik adalah senyuman yang ikhlas dari hati seperti senyuman Rasullallah S.A.W.

__________________________________________

Para sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah S.A.W yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan tentang betapa indahnya senyuman Rasulullah ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar, “Rasullullah S.A.W. tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya).

Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah S.A.W. yang bernama Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah S.A.W.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Saidina Husein, cucu kepada Rasulullah S.A.W. juga ada menggambarkan tentang sikap baginda seperti yang telah direkodkan oleh Imam Tirmidzi; beliau berkata, “Aku bertanya kepada Ayahku( Saidina Ali ra) tentang adab dan etika Rasulullah S.A.W. terhadap orang-orang yang bergaul dengan baginda. Ayahku mengatakan, ‘Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, beliau bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas…”.

Tambahan pula, Rasulullah S.A.W. tetap akan mempamerkan senyuman walau dalam keadaan marah hatta kepada orang yang baginda tidak sukai. Begitu indah akhlak Rasullulah S.A.W. dan kita sebagai umatnya yang mengaku bahawa baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang Nabi dan Rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan baginda yang sentiasa menghadiahkan orang lain dengan senyuman?

Senyuman adalah anugerah Allah kepada setiap hambanya. Senyum hanya menggunakan 17 sahaja otot muka manakala bermasam muka memerlukan lebih 43 otot muka. Namun masih sukar bagi seseorang untuk memberi senyuman ikhlas. Tidak dapat dinafikan orang yang sentiasa senyum akan kelihatan awet muda malah apabila orang lain yang melihat senyuman itu juga akan turut tersenyum. Lebih manis lagi apabila si penyenyum mempunyai lesung pipit di pipi sama ada kiri atau kanan atau kedua dua sekali. Lesung pipit membuatkan si penyenyum akan nampak lebih manis dan tenang.
Senyuman mampu menguatkan semangat pada diri seseorang dan memberikan peluang untuk berfikir dengan tenang. Selain itu, senyuman juga mampu membuatkan orang yang marah terhadap si penyenyum akan menjadi ‘dumbfounded’ dan meredakan kemarahan terhadap si penyenyum. Walaupun pada awalnya agak marah sambil berkata “Apa senyum senyum?? orang tengah marah ni!!” Namun kemudian kemarahannya akan sendirinya berkurangan.

Apa lagi kelebihan senyum? Mengikut kajian Dr. Mark Stibich senyuman mampu meningkatkan fungsi sistem imunisasi badan dan mengurangkan risiko untuk demam dan selsema. Senyuman juga boleh mengurangkan tekanan darah tinggi seseorang, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Kajian juga menunjukkan bahawa senyuman adalah “natural drug” di mana senyuman menghasilkan hormon ‘endorphins’ dan ‘serotonin’ yang boleh mengurangkan tahap hormon stress ‘cortisol’ dan ‘adrenaline’ .

Senyum memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, senyum mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Seperti yang telah ditulis sebelum ini, senyum adalah sedekah yang paling mudah. Sedekah yang tidak memerlukan modal wang ringgit tetapi hanyalah sekelumit rasa ikhlas yang dapat memaniskan senyuman itu. Senyumlah kerana Allah. Oleh itu mulai saat ini tanamkan sikap
positif dalam diri dan senyumlah.

Namun begitu, perlu diingatkan kepada para Muslimah untuk berhati-hati apabila senyum. Para Muslimah tidak digalakkan untuk senyum sebarangan kepada kaum lelaki kerana khuatir akan disalah erti dan disalah guna yang boleh menimbulkan fitnah. Senyum seikhlas hati tetapi perlu berhati-hati.

Senyum..:)

Monday, 27 March 2017

Gambar Pilihan Musolla An-Nur







Kelebihan Bersedekah



“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya)’.”
Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim
Sedekah bukan hanya perihal memberikan sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan, namun manfaat sedekah lebih luas akan dirasakan oleh mereka yang melakukannya, antaranya:


#1- Memperkuat Keimanan Dan Mendekatkan Diri kepada Allah SWT

Jika kita bersedekah dengan niat demi untuk beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadapNya.
Dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi keranaNya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

#2- Mendapat Ganjaran Pahala

Setiap amalan baik yang dilakukan dengan ikhlas pasti akan diganjarkan dengan pahala oleh Allah SWT. Ini termasuklah dalam perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan.
Firman Allah ;
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali dari bisikan-bisikan orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian diantara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.”
Surah an-Nissa:114

#3- Bertambah Rezeki Dan Mendapat Keberkatan

Bukankah dengan memberi kepada orang lain, Allah akan memberi dan menggantinya dengan hal yang lebih baik? Tidak sesekali kita rugi sekiranya memberi dan membantu orang lain dengan hak dan barangan kita.
Pasti Allah akan menurunkan keberkatan rezeki dengan lebih baik atas kebaikan yang kita lakukan itu. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahgaian dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.

#4- Menyembuhkan Penyakit

Banyak penemuan kajian membuktikan dengan melakukan sesuatu perkara yang positif untuk orang lain, seperti memberi atau bersedekah akan meningkatkan sistem kekebalan tubuh badan seseorang.
Salah satunya, kajian yang dilakukan oleh James House memberi kesimpulan bahawa dengan membantu orang lain sepenuh hati dan ikhlas akan meningkatkan kesihatan tubuh badan dan menyembuhkan penyakit-penyakit ringan.

#5- Memberi Ketenangan Hati Dan Kebahagiaan

Sebagai umat islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah.
Melalui amalan bersedekah juga akan melahirkan perasaan tenang dan bahagia.
Bahkan, dengan membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini.

#6- Melahirkan Rasa Syukur

Rasa syukur adalah apabila kita berterima kasih kepada Allah dengan apa-apa yang kita terima. Lalu, dengan bersedekah adalah salah satu cara untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT atas semua kurniaan dan pemberiannya.
Bukankah dengan bersedekah itu mengingatkan kita bahawa apa yang dimiliki hari ini itu adalah nikmat dan atas keizinan dari Allah SWT?
Jadi, jika kita ini hamba yang bersyukur, maka memberilah tanpa berkira-kira.

#7- Terhindar Dari Sifat Kedekut

Bagaimana untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi sebahagian daripada golongan yang kedekut? Orang yang memberi sudah tentu tidak kedekut.
Sebenarnya dengan bersedekah (walaupun sedikit) mampu memupuk jiwa dan diri kita menjadi dermawan seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Sedekah juga diajarkan melalui perbuatan zakat serta qurban sebagai ibadah wajib dalam Islam.
Sesungguhnya jauhilah sifat kedekut kerana itulah antara sikap yang menyempitkan rezeki.

#8- Melatih Berfikiran Positif Dan Adil

Kerap kali kita melihat golongan yang gemar bersedekah adalah mereka yang memiliki sikap adil, dan tidak berani mengambil hak orang lain tanpa kebenaran (mencuri).




Itulah manfaat bersedekah, dengan melakukan amalan sedekah akan mengingatkan kepada kita mengenai kewajiban dalam aspek sosial iaitu dengan bersikap adil kepada mereka yang memerlukan bantuan dan golongan dalam kesusahan.
Ini akan meningkatkan sikap peka dan simpati terhadap keadaan masyarakat di sekeliling kita yang kadang kala sangat memerlukan perhatian kita.

#9- Terhindar Dari Sikap Keduniaan Dan Materialistik

Amalan bersedekah akan menjauhkan kita dari sifat gila harta dan pentingkan keduniaan.
Kita akan menjadi orang yang rela dan redha apabila harta atau kepunyaan diberikan kepada orang lain.
Bahkan hal ini membuatkan kita lebih berharap dan meminta hanya kepada Allah kerana percaya setiap yang kita ada adalah pinjaman dari Allah SWT sahaja. Jadi, sedekah akan menghindarkan kita dari dari nilai-nilai materialisme dan cintakan dunia semata-mata.

#10- Menjauhkan Diri Dari Sikap Bongkak Dan Sombong

Sikap sombong dan bongkak mungkin akan terjadi jika kita mengabaikan sedekah. Jika seseorang itu bersedekah atau kerap memberi kepada orang lain, dia bukanlah tergolong dalam golongan orang yang sombong.
Orang yang sombong adalah mereka yang menganggap semua yang dimiliki adalah hak kekal mereka selamanya. Disebabkan itulah mereka berasa sayang untuk memberikan kepunyaan mereka itu kepada orang lain. Tanpa mereka sedar semua itu adalah hak Allah yang boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja.
Jadi, bersedekah untuk mengelakkan diri kita menjadi sebahagian daripada mereka yang sombong dan bongkak.
Kesimpulannya, contoh terbaik dalam bersedekah adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda seringkali memberikan makanannya kepada golongan miskin sehinggakan Baginda sendiri kerap berlapar.
Rasulullah sangat takut jika di rumahnya terdapat hanya sedikit saja harta atau makanan yang belum dibahagikan. Bahkan pakaian Baginda sendiri dari bahan kasar dan berharga paling murah.
Abu Dzar pernah berkisah bahawa suatu hari sewaktu beliau berjalan bersama-sama Rasulullah SAW. Tiba di sebuah tanah lapang di Madinah yang terlihat Bukit Uhud, Rasulullah SAW bersabda;
“Sesungguhnya, harta itu hijau dan manis. Barang siapa mengambilnya dengan kedermawanan hati, maka akan diberkahi; barang siapa mengambilnya dengan keserakahan, maka tidak akan diberkahi. (Jika tidak diberkahi, maka dia) seperti orang yang makan, tapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (diberi).”
Hadis Riwayat Muslim

Sunday, 12 March 2017

Gambar Pilihan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah.








6 Golongan Remaja Yang Dirindui Syurga


Kesungguhan ini membuatkan golongan ini menjadi hamba Allah yang lebih sabar dan tabah serta semakin bersungguh dalam mengejar apa-apa saja perintah Allah SWT di dunia.

REMAJA · RABIATUL ADAWEEYAH · 18 FEB 2017



Firman Allah SWT yang bermaksud;


“Kami ceritakan mereka kepada mu (Muhammad ) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata ‘Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi. Kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”

Al-Kahfi:13-14
1# Mempunyai Kekuatan Akidah


Remaja yang baik akan sentiasa memperkuat akidah dan keimanan mereka terhadap Allah SWT. Jika iman yang kuat sudah menebal, pasti setiap halangan akan berjaya ditepis sehinggakan menjadikan seseorang remaja itu kebal dengan apa-apa jua cabaran.

Jadi, bagi melahirkan remaja yang bertunjangkan Islam, didikan Islam haruslah disemai dari awal dan pastikan tidak hilang dari diri remaja itu. Takutkan Allah SWT menjadikan seseorang itu gerun untuk melakukan sebarang dosa, apatah lagi meninggalkan kewajipannya sebagai seorang hamba, contohnya solat lima waktu.
2# Mempertingkatkan Keperibadian Islam

Remaja yang berusaha menjaga keperibadian Islam akan menghindarkan dirinya daripada kemaksiatan. Caranya adalah seperti menghadiri majlis ilmu dan mendekati ulama. Bahkan meningkatakan keperibadiannya dengan sentiasa memperbaiki diri dalam aspek ibadah dan akhlaknya mengikut anjuran Islam.


Remaja yang menjaga keislamannya ini sebenarnya sangat bangga dilahirkan sebagai Islam dan tidak malu mengwar-warkan (berdakwah) akan agama Islam yang disanjungnya.
3# Tidak Mengutamakan Dunia


Remaja yang mempunyai ciri-diri dambaan syurga ini tidak menjadikan dunia sebagai matlamaat, bahkan hanya berpaksikan akhirat semata-mata.

Mereka sangat yakin bahawa kehidupan di syurag kelak adalah yang kekal dan lebih baik daripada apa-apa kesenangan di dunia ini. Bahkan apa-apa amalan yang dilakukannya di dunia ini pasti akan didakwa di akhirat kelak. Dengan itu akan semakin meningkatlah keimanan mereka terhadap Islam dan Tuhan mereka, Allah SWT.
4# Bermatlamat Dan Tetap Hala Tuju


Remaja yang dirindui syurga sangat tahu akan arah yang mereka cari, iaitu reda Allah SWT, itulah misi dan tujuan kehidupan mereka.

Apabila sudah jelas akan matlamat itu mereka akan menjauhui diri daripada melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT, bahkan menghampirinya saja mereka sudah takut dimurkai.

Hal ini menjadikan mereka para pemuda yang tidak mensia-siakan hidup dan kehidupan di dunia sebagai tempat mengumpul pahala dan kebaikan sahaja.
5# Istiqamah Dan Bersungguh-Sungguh

Golongan ini juga sangat bersungguh-sungguh dalam apa-apa jua yang diusahakan. Sesekali tidak mereka alpa dan bermain-main dengan hal yang tidak berfaedah dan melalaikan.


Kesungguhan ini membuatkan golongan ini menjadi hamba Allah yang lebih sabar dan tabah serta semakin bersungguh dalam mengejar apa-apa saja perintah Allah SWT di dunia.
6# Menghargai Masa


Para pemuda yang cemerlang in juga sangat bijak dalam mentadbir waktu. Mereka sangat menghargai waktu yang diberikan untuk menambah amalam ibadah demi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bagi mereka, jika membuang waktu sama saja seperti membuang peluang keemasan seasaa hidup mereka ini. Sesungguhnya orang-orang yang menghormati waktu adalah golongan yang maju dan berjaya.

Semoga kita sama-sama menjadi sebahagian daripada golongan yang didambakan syurga. Amin.

KONGSIKAN TAZKIRAH INI

5 Perbezaan Antara Remaja Dahulu Dan Kini



Dunia ini hanya terdiri atas tiga hari, iaitu kelmarin, ia telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya. Esok, engkau mungkin tidak akan menemuinya. Dan, hari ini itulah apa yang engkau miliki. Oleh itu, beramallah untuk bekalan di sana nanti. 
(Kata Mutiara Hasan al-Basri)


REMAJA · MARINA M. ARUS · 11 MAC 2017






Jika hendak dibandingkan, antara remaja dahulu dan sekarang, manakah yang lebih baik? Remaja dahulu iaitu mereka yang hidup sekitar tahun 80-an, manakala remaja sekarang, iaitu mereka yang hidup sekitar tahun 2000 dan ke atas.


Apabila ada persoalan atau pertanyaan seperti itu dilontarkan kepada anda, bagaimana ingin menjawabnya? Jawabnya mudah, iaitu ia bergantung kepada diri remaja itu sendiri. Ini kerana segala perubahan yang berlaku ke atas setiap individu itu tidak sama dan berdasarkan beberapa faktor.


Sungguhpun begitu, bagi ‘orang-orang lama’ yang lebih dahulu makan garam dari kita mereka pasti mempunyai pandangan yang tersendiri dalam beberapa aspek.


Antara perbezaan ketara antara remaja dahulu dan sekarang ialah dari sudut berikut;
#1 – Akhlak Dan Keperibadian


Jika diperhatikan, ada kebenarannya. Remaja dahulu diasuh dan dididik dengan sifat sopan santun yang sangat tinggi. Ini termasuklah dari sudut penggunaan bahasa yang keluar dari mulut mereka.


Hendak dibandingkan dengan remaja sekarang, penggunaan bahasa tidak dijaga dengan baik. Bahkan, ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang lebih tua dari mereka. Bercakap dengan mereka yang lebih berumur seperti rakan-rakan dan tiada sopan santunnya.
#2 – Percintaan


Percintaan antara dua insan di dalam Islam hakikatnya tiada, melainkan setelah bernikah kelak. Sungguhpun begitu, percintaan remaja dahulu biasanya menggunakan surat-menyurat, bahkan agak jarang untuk melihat mereka berpeleseran berdua-duaan di khalayak ramai.


Ini kerana sifat malu sangat menebal dalam kalangan remaja dahulu, terutama kaum wanitanya. Berbeza pada zaman sekarang, percintaan remaja kini semakin berleluasa dan seakan sengaja untuk dipertontonkan. Hal ini jelas kelihatan di merata tempat, termasuklah di pusat membeli-belah.


Sifat malu bagaikan hilang pada diri apabila mereka dengan beraninya berpegangan tangan, bersentuhan, berpelukan dan melakukan hal yang tidak sewajarnya di khalayak ramai.
#3 – Gaya Hidup Dan Penampilan


Peredaran zaman amat mempengaruhi gaya hidup dan penampilan seseorang. Begitu juga bagi remaja dahulu dan sekarang. Umum mengenali remaja dahulu dengan penampilan yang sopan dan tidak menimbulkan fitnah.


Sebagai contoh, kaum wanitanya termasuklah anak remaja lebih gemar mengenakan kain batik, baju kurung atau baju kebaya sebagai pakaian harian mereka.


Berbeza remaja zaman sekarang, penampilan mereka lebih ke arah barat dan ia dianggap suatu trend. Bagi remaja perempuan pula, ada yang memilih pakaian seksi, berseluar pendek, skirt, bersinglet sebagai pakaian harian sehingga mengundang fitnah kepada kaum lelaki.
#4 – Pendidikan


Tidak dinafikan, era pendidikan zaman sekarang ternyata jauh lebih baik dan moden berbanding dahulu. Zaman sekarang, pelbagai kemudahan diberikan kepada para pelajar supaya sistem pendidikan lebih maju dan efektif.


Walaupun begitu, dengan adanya pelbagai kemudahan, kadang membuatkan para pelajar semakin malas untuk menimba ilmu. Segalanya hanya di hujung jari, hanya copy dan paste sahaja maklumat di internet, sudah dapat menyiapkan suatu tugasan.


Berbanding pelajar zaman dahulu, mereka lebih berasa kepayahan untuk menimba ilmu. Dengan keadaan yang serba kekurangan itulah mereka berusaha sedaya upaya, mengerah akal fikiran, memperbanyakkan bahan bacaan, dan ada yang perlu berjalan kaki atau menaiki basikal semata-mata untuk menyiapkan suatu tugasan.
#5 – Teknologi


Begitu juga dalam perkembangan teknologi. Saban hari, minggu, bulan, bahkan tahun pasti ada saja teknologi baru yang dipasarkan untuk kemudahan masyarakat kini. Penciptaan teknologi ini tidak lain adalah sebagai pemudah cara bagi manusia untuk menguruskan kehidupan.


Jika dahulu, amat sukar untuk melihat remajanya obses pada gajet, bahkan memilikinya juga belum tentu. Zaman sekarang, bagi sesiapa yang tidak memiliki gajet pula dianggap kolot, bahkan ada yang turut disisihkan oleh rakan-rakan kerana tidak mengikut peredaran zaman.


Begitulah antara beberapa perbezaan yang ketara antara remaja dahulu dan sekarang. Sungguhpun begitu, segalanya bergantung kepada remaja itu sendiri dalam membawa hala tuju dan diri mereka.


Semakin moden zaman itu, maka semakin mencabarlah kehidupan yang dilalui. Justeru itu, peredaran zaman tersebut seharusnya diambil sebagai suatu peluang dan dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan.


“Dunia ini hanya terdiri atas tiga hari, iaitu kelmarin, ia telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya. Esok, engkau mungkin tidak akan menemuinya. Dan, hari ini itulah apa yang engkau miliki. Oleh itu, beramallah untuk bekalan di sana nanti.”Kata Mutiara Hasan al-Basri



KONGSIKAN TAZKIRAH INI